Home » » PAKATAN HARAM TABUR JANJI BELANJAWAN PALSU

PAKATAN HARAM TABUR JANJI BELANJAWAN PALSU

Written By LAILANATASHA on Thursday, September 27, 2012 | 8:00 PM




Pakar ekonomi menyifatkan bajet bayangan yang dikemukakan pakatan pembangkang semalam sukar dilaksanakan kerana ia menggugat kestabilan pasaran, selain menjejaskan perolehan kerajaan.

Cadangan menghapukan tol dan menurunkan cukai kereta kepada 20 peratus, potongan cukai eksais secara mendadak juga tidak sesuai ketika ketidaktentuan ekonomi global.

Mereka berpendapat cadangan itu dilihat 'mesra rakyat' tetapi persoalannya sejauh mana ia boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan pasaran dan pertumbuhan ekonomi negara.

Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng berkata cadangan penghapusan tol PLUS dan dua konsesi lain dalam masa yang singkat sukar dilakukan kerana ia memberi kesan negetif kepada pendapatan kerajaan.

Cadangan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula tidak munasabah kerana pinjaman pelajaran diperlukan untuk membantu rakyat mendapat pendidikan di peringkat lebih tinggi.

Katanya, pinjaman adalah saluran yang relevan untuk digunakan oleh pelajar yang menghadapi masalah kewangan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Adalah tidak munasabah untuk menghapuskan pinjaman pelajaran. Pembiayaan berkesan yang disediakan untuk pelajar yang layak mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) sejajar dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan," katanya.

"Jika dilihat dari sudut sosial, ia tidak adil kepada pelajar yang sudah membuat pembayaran balik pinjaman mereka dengan penghapusan pinjaman itu," katanya.

Ketua Ekonomi Alliance Research, Manokaran Mottain juga berpendapat tidak wajar menghapuskan pinjaman kepada pelajar kerana ia mengundang kepada peningkatan sikap kebergantungan kepada subsidi kerajaan.

Beliau berkata pergantungan kepada subsidi kerajaan adalah tidak positif bagi perkembangan ekonomi negara. 

"Apa yang sepatutnya perlu dilakukan adalah melanjutkan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga pelajar mempunyai pekerjaan," katanya. 

Ketua Penyelidikan dan Perundingan Kluster Ekonomi dan Kewangan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Shazali Abu Mansor, pula berkata penghapusan pembiayaan pelajaran dan tol bersifat terkebelakang dalam proses merangka kemajuan negara.

Penghapusan memaksa kerajaan mencari pendapatan bagi menampung perbelanjaan, di samping wujud masalah seperti pengurangan tenaga kerja, penurunan kualiti infrastruktur jalan serta sekatan mendapat akses pendidikan tinggi.

"Dengan sumber negara terhad, kerajaan tidak mamapu menampung sektor yang memerlukan belanja besar seperti pembinaan infrastruktur dan pendidikan.

"Jadi mereka perlu memaklumkan sumber pendapatan bagi menampung kos kerana penghapusan tol dan pinjaman pelajaran akan menyebabkan perbelanjaan kerajaan semakin tinggi," katanya.

Penganalisis politik, Prof Ahmad Atory Hussain, berkata penghapusan pembiayaan PTPTN hanya mengurangkan semangat daya saing pelajar, di samping membebankan kerajaan kerana terpaksa mendirikan lebih banyak IPT awam bagi memberi akses pendidikan percuma.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rafiee pula berpendapat penghapusan kedua-duanya akan menyebabkan perbelanjaan bagi sektor lain seperti perkhidmatan, kesihatan, pendidikan dan pelaburan mungkin terjejas.

Jika semua pelajar memilih IPT awam kerana mahu mendapatkan pendidikan percuma, ramai mungkin tidak berpeluang menyambung pelajaran peringkat lebih tinggi. 
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MALAYSIA KRITIS - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger