Home » » Jerebu : Majlis Istiadat Angkat Sumpah Di Parlimen Diteruskan

Jerebu : Majlis Istiadat Angkat Sumpah Di Parlimen Diteruskan

Written By LAILANATASHA on Sunday, June 23, 2013 | 9:00 PM

 

Majlis istiadat mengangkat sumpah anggota Dewan Rakyat di Parlimen Isnin, tidak akan ditangguhkan meskipun negara kini dilanda jerebu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata istiadat tersebut diteruskan memandangkan ia dilakukan di dalam bangunan Parlimen dan bukannya di kawasan terdedah kepada cuaca jerebu.

"Walaupun Perdana Menteri telah mengisytiharkan darurat di beberapa daerah dan masih terdapat daerah yang berdepan peningkatan IPU, mengambil kira majlis dilakukan di dalam bangunan, ianya tetap akan diteruskan," katanya pada sidang media di sini Ahad.

Shahidan juga menggesa pemimpin pembangkang mengarahkan penyokong mereka yang berkhemah di Padang Merbok supaya bersurai atas faktor kesihatan.

"Perbuatan berkhemah di tempat terbuka dalam cuaca jerebu akan mengundang pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan. Pembangkang kena bagi perhatian dan nasihat penyokong mereka untuk bersurai dari berkhemah... ketepikan sebentar soal politik dan prihatin terhadap kesihatan penyokong," katanya.

Beliau juga berkata tindakan pemimpin pembangkang yang terus membiarkan penyokong mereka terdedah dengan cuaca tidak sihat serta boleh memudaratkan kesihatan, boleh dianggap sebagai satu dosa.

Shahidan turut berharap orang ramai agar tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka serta melaporkan sebarang kes pembakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727.

-- BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MALAYSIA KRITIS - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger