Home » » Krisis Bekalan Air Di S’gor Jatuhkan Imej Negara

Krisis Bekalan Air Di S’gor Jatuhkan Imej Negara

Written By LAILANATASHA on Saturday, June 29, 2013 | 12:05 PM

Badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pengguna berpendapat krisis bekalan air yang dijangka berlaku di Selangor ekoran daripada musim kemarau boleh mencemarkan imej negara di mata dunia.
Ia kerana Selangor merupakan negeri yang paling maju dan dianggap sebagai hab utama ekonomi Malaysia maka gangguan bekalan air yang teruk tidak sepatutnya berlaku di negeri tersebut.
“Selangor sebagai negeri yang paling maju dan berkhidmat sebagai hab utama ekonomi di negara ini, gangguan bekalan air besar yang akan berlaku di negeri itu tidak boleh ditanggung kerana ia mencemarkan imej negara.
“Oleh itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), Forum Air Malaysia dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menggesa semua pihak memainkan peranan untuk mengelakkan keadaan bekalan air menjadi semakin teruk di Selangor,” kata NGO terbabit dalam satu kenyataan bersama.
NGO terbabit turut mempertikaikan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) kerana didakwa lewat mengadakan rundingan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung situasi bekalan air yang akan berlaku di Selangor.
Menurut kenyataan itu, Syabas sepatutnya berunding dengan SPAN bagi membolehkan peringatan lebih awal diberi kepada semua pihak berkepentingan supaya mereka mempunyai lebih banyak masa untuk bersiap sedia jika gangguan bekalan air yang besar berlaku.
“Sikap ‘tunggu dan lihat’ tidak seharusnya berlaku kerana akses kepada bekalan air adalah salah satu daripada hak-hak asas kepada semua orang,” kata NGO itu lagi.
Keempat-empat NGO itu bagaimanapun meminta pengguna supaya tidak hanya menuding jari kepada pihak berwajib sebaliknya turut melihat kepada kesilapan mereka dalam menangani isu tersebut.
“Kita sebagai pengguna perlu bertanya kepada diri sama ada kita telah melakukan yang terbaik untuk memperbaiki keadaan dan memulihara air dalam kehidupan seharian kita,” kata kenyataan itu.
Malah, dakwa NGO terbabit, kajian pada tahun 2007-2010 mendapati 70 peratus responden tidak mungkin mengurangkan penggunaan air mereka di rumah untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Kata kenyataan itu, hasil kajian itu sekali gus menunjukkan bahawa kesedaran rakyat mengenai isu air di negara ini masih sangat rendah. – mynewshub.my
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MALAYSIA KRITIS - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger