Home » » Sidang Dun Selangor : Janji PRU12 Kerajaan Pakatan Haram Bernilai RM 2.5 Billion Masih Tidak Di Tunaikan

Sidang Dun Selangor : Janji PRU12 Kerajaan Pakatan Haram Bernilai RM 2.5 Billion Masih Tidak Di Tunaikan

Written By LAILANATASHA on Friday, July 5, 2013 | 8:10 AM



YB. TUAN SHUKOR BIN IDRUS

ADUN KUANG
Tuan Speaker,



MUKADDIMAH
1. Terima kasih, Tuan Speaker, kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyokong titah ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan yang mulia hari ini.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Ketua Pembangkang dari Sg. Burong semalam, saya juga ingin menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku kerana begitu prihatin dan sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyat dan kelicinan pentadbiran Kerajaan negeri. 

DYMM Tuanku didapati tidak jemu-jemu dan sentiasa memberi nasihat dan berani membuat teguran-teguran membina kepada Kerajaan negeri dan semua pihak yang bertanggungjawab dalam pentadbiran Kerajaan negeri. 
Keperihatiann Tuanku inilah yang menyebabkan semua lapisan masyarakat Selangor meletakkan Tuanku sebagai pelindung utama dan payung kepada kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta negeri Selangor yang tercinta ini.



Tuan Speaker,
MANIFESTO PRU 12 DAN PRU 13 PAKATAN PEMBANGKANG 
2. Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini mengenai titah ucapan DYMM Sultan Selangor supaya Kerajaan negeri hendaklah menunaikan semua janji-janji Pilihan raya kepada rakyat Selangor.
3. Setelah diberi mandat baru oleh rakyat degan dua pertiga majoriti dalam PRU 13, YAB Menteri Besar dan Kerajaan Selangor hendaklah menunaikan semua janji-janji dalam Manifesto PRU 12 dan PRU 13 serta semua janji-janji parti dan Kerajaan dalam tempoh pemerintahannya pada penggal yang lalu. 

Barisan Nasional menghormati keputusan rakyat dalam PRU 13 walaupun masih banyak janji-janji PRU 12 belum dapat ditunaikan. Nampaknya rakyat mahu memberi peluang kepada PAKATAN PEMBANGKANG untuk melaksanakan janji-janji PRU 12 atau telah berpuas hati dengan yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan. Tetapi kami tetap menuntut supaya janji-janji tersebut ditunaikan segera.

 
4. Dalam konteks Manifesto PRU 12 dan pendirian YAB Menteri Besar serta Kerajaan Selangor bahawa manifesto bukan janji dan tidak mengikat Kerajaan untuk menunaikannya, Barisan Nasional menghormati keputusan Mahkamah Tinggi pada13 Mei 2013 bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah. Bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen. yang terikat disisi undang-undang. 

Peguambela Kerajaan negeri mengatakan bahawa remedi mereka adalah bersifat politik. Remedi pengundi ialah di peti undi pada masa pilihan raya diadakan. 
Walaupun begitu, kes ini sedang dibuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dan masih boleh dibangkitkan oleh rakyat.
5. TETAPI yang penting ialah dari segi MORAL DAN INTEGRITI. Dari segi undang-undang YAB Menteri Besar dan Kerajaan negeri Selangor mungkin tidak terlepas buat sementara ini, tetapi kita tunggulah sehingga keputusan Mahkamah Persekutuan.
6. Dari segi moral dan prinsip INTEGRITI, YAB MB dan Kerajaan negeri adalah terikat dan bertanggungjawab untuk menunaikan semua janji-janji pilihan raya melalui MANIFESTO PRU 12, PRU 13 dan 10 Aku janji yang telah dibuat semasa mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar dan Exco Kerajaan negeri. 

Rakyat telah memberi mandat baru kepada Pakatan Pembangkang berdasarkan kepada janji-janji dalam Manifesto PRU 12 dan PRU 13 yang telah memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat. 

Apakah makna kalau janji-janji tersebut hanya mainan di bibir sahaja dan Kerajaan negeri mendakwa bahawa mereka tidak terikat untuk menunaikannya kerana Mahkamah telah memutuskan demikian. Mungkin kerana itulah mereka tidak begitu sirius melayan tuntutan rakyat. TAK tahulah kalau itu juga yang dikehendaki oleh rakyat.
YANG JELAS kepada kita, DYMM Sultan Selangor yang dikasihi tetap menitahkan bahawa janji-janji tersebut hendaklah ditunaikan demi kepentingan rakyat Selangor keseluruhannya. Menjunjung kasih, Tuanku.

Tuan Speaker,
7. Dalam konteks Manifesto PRU 12, Barisan Nasional dan rakyat negeri Selangor menuntut supaya semua janji-janji Pakatan Pembangkang dalam Manifesto PRU 12 dan lain-lain janji yang dibuat dalam pemerintahan penggal yang lalu ditunaikan dan dilaksanakan sepenuhnya. Daripada 37 janji PRU 13, masih banyak yang belum ditunaikan SEPENUHNYA yang kami anggarkan bernilai lebih dari RM 2.5 Bilion , diantaranya seperti berikut :-

· RM100 bagi SETIAP anak kelahiran Selangor (RM39,795,700.00)

· Bantuan RM75 sebulan SETIAP anak dihantar ke nurseri (RM122,220,000.00)

· Bantuan RM50 sebulan bagi SETIAP pendidikan pra-sekolah (RM22,605,250.00)

· Hadiah RM1,000 SETIAP anak Selangor ke Universiti (RM133,425,000.00)

· Takaful RM2,500 warga emas, kurang upaya & anak yatim (RM407,205,000.00)

· Perubatan percuma warga 65 tahun ke atas (RM289,921,500.00)

· Air percuma bagi 20 meter padu setiap bulan (RM392,730,000.00)

· Rebet cukai pintu PBT (RM1,000,000,000.00)
8. Dalam PRU 13 pula, melalui manifestonya, Pakatan Pembangkang telah membuat janji-janji baru yang telah meyakinkan dua pertiga majoriti rakyat Selangor, dan kemudian diikuti oleh Sepuluh Aku Janji semasa mengangkat sumpah jawatan. 

Berdasarkan kepada prestasi dan kemampuan Kerajaan Pakatan Pembangkang di masa lalu, adalah terlalu awal untuk kita membuat penilaian mengenai kejujuran, keikhlasan, ketulusan, kemampuan dan iltizam Kerajaan negeri dalam menunaikan serta melaksanakan janji-janji tersebut. Sama-samalah kita lihat. 

Harapan rakyat Selangor, Kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB ADUN Pelabuhan Klang tidak akan mengecewakan harapan rakyat Selangor selaras dengan 10 Aku Janji di hadapan DYMM Sultan semasa mengangkat sumpah jawatan.
Tuan Speaker,

INDUSTRI PASIR
9. Di dalam Dewan yang mulia ini saya ingin membangkitkan semula isu mengenai industri pasir yang masih menjadi isu hangat hari ini seperti yang pernah saya bangkitkan banyak kali dalam beberapa persidangan Dewan pada penggal yang lalu.
10. Berdasarkan kepada beberapa pendedahan rakyat mengenai masalah pengeluaran pasir baru-baru ini seperti yang berlaku di daerah Hulu Langat, ini membuktikan bahawa Kerajaan negeri, terutama pejabat Tanah dan syarikat Kerajaan negeri - Kumpulan Semesta Sdn Bhd gagal dalam pengurusan industri pasir di Selangor. 

Semasa perkara ini menjadi isu hangat dan dibincangkan dengan perinci oleh SELCAT, walaupun belum selesai, Kerajaan negeri telah memberi jaminan bahawa penyelewengan dan pengeluaran pasir secara haram akan dibanteras dan diatasi.
11. MALANGNYA perkara ini timbul lagi. Berlaku pengambilan pasir secara tidak terkawal di Sungai Lalang, Semenyih dalam Daerah Hulu Langat, YAB Menteri Besar masih berdiam diri. Lembaga Urus Air Selangor mengesahkan bahawa kebenaran dan permit telah dikeluarkan Pejabat Tanah Hulu Langat belum lagi membuat sebarang penjelasan walaupun kuasa meluluskan permit adalah di bawah Pejabat Tanah dan bukan LUAS. 

Seperti di masa-masa yang lalu, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, anak syarikat yang telah diberi monopoli untuk menguruskan pengeluaran pasir di Selangor, telah lepas tangan. Mereka mendakwa KSSB tidak ada kuasa. Bukan tanggungjawab KSSB untuk mengambil tindakan. Itu kuasa LUAS dan Pejabat Tanah. Tugasnya hanya buat laporan kepada Polis dan Pejabat Tanah.
12. RAKYAT KELIRU siapa sebenarnya yang berkuasa dan bertanggungjawab. Semua pihak hendak lepas tangan. YANG JELAS kepada rakyat, pengeluaran pasir secara tidak terkawal masih berterusan dan menjejaskan alam sekitar serta kekurangan hasil Kerajaan negeri.
13. Oleh itu, melalui Dewan yang mulia ini saya mewakili Barisan Nasional menuntut Kerajaan negeri enam (6) perkara berikut :-
Pertama

Kerajaan negeri hendaklah menyediakan kertas putih mengenai pengurusan industri pasir di Selangor khususnya aktiviti pengeluaran pasir secara tidak terkawal yang menjejaskan alam sekitar dan hasil pendapatan negeri Selangor.

Kedua

Sebagai sebuah syarikat milik penuh Kerajaan, Kumpulan Semesta Sdn Bhd hendaklah menyediakan laporan terperinci mengenai pengurusan industri pasir di negeri Selangor yang telah diamanahkan oleh Kerajaan negeri, termasuklah kedudukan kewangannya serta sumbangan kepada hasil negeri dan rakyat Selangor.
Ketiga

BERHENTIKAN dengan segera permit dan kuasa monopoli pengurusan industri pasir Selangor kepada KSSB yang telah terbukti gagal menjalankan amanah dan tanggungjawab secara berkesan, telus dan cekap termasuklah kegagalannya bersama-sama memantau dan membanteras pengeluaran pasir secara haram.
Keempat

MENGEMBALIKAN SEMULA KUASA PENGURUSAN industri pasir kepada Pejabat Tanah dan Galian negeri bersama-sama Pejabat-pejabat Tanah Daerah selaras dengan pematuhan undang-undang di dalam Kanun Tanah Negara.
Kelima

Kerajaan negeri hendaklah mengkaji semula hala tuju industri pasir negeri Selangor, jangka pendek dan jangka panjang, termasuklah garis panduan dan syarat-syarat permit yang lebih ketat bagi mempastikan sumber pasir yang sangat penting dalam pembangunan negeri Selangor ditadbir dan diuruskan dengan baik untuk masa depan pembangunan negeri Selangor.
Keenam

SELCAT iaitu Jawatankuasa hendaklah meneruskan sesi PENDENGARAN AWAM yang telah tertangguh sekian lama mengenai aktiviti KSSB dan industri pasir di Selangor, memandangkan isu ini masih menjadi masalah besar hari ini.
Rakyat ingin tahu mengapa YB Speaker Dewan Undangan Negeri pada penggal lalu, ADUN Sg. Pinang menangguhkan pendengaran SELCAT mengenai isu ini seperti ada udang disebalik batu atau isu ini tidak relevan dan penting kepada Kerajaan negeri Selangor. Beliau sendiri yang tahu.


Tuan Speaker,

14. Dalam isu ini, sebenarnya rakyat tidak lupa dan masih ingat janji YAB Menteri Besar Selangor dalam ucapan sulungnya di Istana Besar Alam Shah sempena Sambutan Hari Jadi DYMM Sultan Selangor. Bukankah YAB berjanji untuk mendapatkan sebanyak RM 150 juta setiap tahun dari hasil sumber pasir. MENJADIKAN HASIL negeri daripada sumber pasir untuk dikembalikan kepada rakyat. MERAKYATKAN HASIL NEGERI.
Sebab itulah rakyat sangat kritikal dan sentiasa memantau isu ini Rakyat jangan bimbang, kami ADUN-ADUN dari Barisan Nasional akan sentiasa memantau dan membangkitkan isu ini setiap masa selagi terdapat kelemahan dalam pengurusan industri pasir oleh Kerajaan negeri.
Tuan Speaker,
PENCEROBOHAN HUTAN SIMPAN – PEMBALAKAN HARAM
15. Saya ingin membangkitkan satu lagi isu yang melibatkan kepentingan negeri dan rakyat Selangor iaitu isu PEMBALAKAN HARAM di daerah Hulu Langat yang telah dibangkitkan oleh rakyat dan pihak media baru-baru ini.
16. Semenjak perkara ini menjadi isu rakyat, Kerajaan negeri khususnya YAB Menteri Besar sendiri belum lagi membuat penjelasan dan ulasan. Walaupun Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah membongkar kegiatan ini, mengapa tindakan-tindakan pencegahan tidak diambil dari dahulu. Bila berlaku baru sibuk. Rakyat mengambil berat perkara ini. 

Kawasan hutan merupakan salah satu sumber utama hasil negeri yang perlu dijaga dengan baik bukan sahaja untuk kemampanan alam sekitar tetapi hasil negeri untuk generasi akan datang. Kerajaan negeri sendiri sentiasa memberi jaminan kepada rakyat untuk menjaga dan menguruskan sumber-sumber asli negeri dengan baik sepanjang masa.
17. Oleh itu saya mendesak Kerajaan negeri, Jabatan Hutan dan Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pihak yang telah terlibat menceroboh kawasan hutan tersebut.

Tuan Speaker,



MANIFESTO PRU 13 DAN 10 AKU JANJI BERSUMPAH 
18. Berikutan dengan keputusan Mahkamah Tinggi mengenai isu manifesto bukan satu janji, dan titah DYMM Sultan Selangor supaya Kerajaan melaksanakan janji-janji pilihan raya yang terkandung dalam Manifesto PRU 13, saya ingin mendapat penjelasan YAB Menteri Besar, apakah pendirian Kerajaan negeri terutama YAB Menteri Besar berhubung dengan pendirian bahawa ‘MANIFESTO BUKAN SATU JANJI’.

· Adakah YAB tetap dengan pendirian bahawa Kerajaan negeri tidak terikat untuk menunaikan janji-janji seperti yang terkandung di dalam Manifesto PRU 13 Pakatan Pembangkang.

· Bagaimana pula pendirian Kerajaan negeri dan YAB sendiri terutama 10 AKU JANJI semasa majlis mengangkat sumpah jawatan.

· Adakah Kerajaan negeri termasuk YAB dan semua Exco Kerajaan TERIKAT secara teknikal dan moral untuk mematuhi dan menunaikan 10 AKU JANJI Bersumpah tersebut.

· Adakah ada apa-apa perbezaan dari segi interprestasi, tujuan dan pematuhan di dalam MANIFESTO dan 10 AKU JANJI BERSUMPAH tersebut.
19. APA PUN ALASAN dan PENJELASAN oleh Kerajaan negeri dan YAB sendiri, sebenarnya tidak akan melepaskan Kerajaan negeri dan YAB untuk lari daripada menunaikan dan melaksanakan semua janji melalui MANIFESTO PRu 13 dan 10 AKU JANJI Bersumpah tersebut. 

Bagi rakyat negeri Selangor yang telah memberi kemenangan 2/3 majoriti kepada Pakatan Pembangkang untuk terus memerintah negeri Selangor, sokongan mereka adalah kerana terpengaruh dan yakin dengan janji-janji Manifesto PRU 13 dapat membawa kesejahteraan rakyat walaupun hakikatnya PAKATAN dan Kerajaan negeri gagal melaksanakan sepenuhnya Manifesto PRU 12. 
20. Bukankah peribahasa Melayu ada menyebut bahawa ‘KERBAU DIPEGANG PADA TALINYA, MANUSIA DIPEGANG PADA JANJINYA.’

· Maksudnya amat jelas. MANUSIA dinilai berdasarkan kejujurannya mengotakan katanya. Itulah yang membezakan antara manusia dan haiwan. Justeru apabila kita membuat janji, maka kita hendaklah menunaikannya. JANJI MESTI DITEPATI.


Begitu juga dalam soal politik. Bagi rakyat dan pengundi, MANIFESTO yang dibuat oleh pemimpin parti politik adalah janji yang mesti ditepati. Selepas mandat diberi, MANIFESTO adalan janji, tidak kira apa pun alasan yang diberikan oleh pihak tertentu yang mengatakan sebaliknya. Apalagi jika manifesto itu dicetak dan disebarkan ketika kempen meraih undi. Adalah jelas bahawa janji bertulis boleh dituntut dan diadili. Rakyat mempercayai apa yang dijanjikan dan membuat keputusan berdasarkan harapan mereka.

· Oleh itu, apabila mandat sudah diberi kepada parti poliitk untuk membentuk pentadbiran, ia mestilah menunaikan segera apa yang dijanjikan. JIKA TIDAK, perbuatan parti politik itu adalah PEMBOHONGAN kepada rakyat. Sewajarnya, pembohong tidak patut diberi kepercayaan untuk mentadbir rakyat dan negeri TETAPI dunia percaturan politik Malaysia akhir-akhir ini agak berbeza. Maka BARISAN NASIONAL menghormati keputusan rakyat, walaupun AGAK KECEWA.

· Rakyat Selangor menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Selangor apabila Baginda bertitah pada Istiadat Penyerahan Watikah Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini bahawa MANIFESTO yang dibuat parti politik adalah satu janji dengan rakyat yang mesti ditunaikan. Justeru pemimpin parti politik yang diberi mandat oleh rakyat hendaklah segera menjunjung titah itu.

· Segala tanggungjawab dan amanah sudah diletakkan kepada Menteri Besar dan ahli Exco Selangor. Mereka hendaklah melaksanakan dengan adil dan saksama tanpa lengah lagi selaras dengan harapan baginda bagi mengekalkan kesejahteraan dan ketenteraman rakyat Selangor. Tiada lagi alasan atau kata-kata untuk cuba mengelirukan rakyat seperti dulu.

· Sebenarnya rakyat Selangor sekarang menunggu dengan penuh harapan pentadbiran baru negeri Selangor melaksanakan titah baginda kerana banyak yang dijanjikan dalam Manifesto PRU 12 belum dilaksanakan.

· Rakyat juga tidak mahu bersusah payah mendaki tangga Mahkamah untuk menuntut janji-janji yang telah dibuat pentadbiran yang sama lima tahun lalu.

· MASANYA sudah tiba untuk Kerajaan Selangor menunaikan janji-janji dan menerima hakikat bahawa MANIFESTO adalah JANJI. JANGAN PULA keputusan Mahkamah Tinggi yang sedang dalam proses rayuan menjadi alasan utama untuk tidak menepati janji. Antara justifikasi MORAL dan Undang-undang adalah dua perkara berbeza. Peganglah peribahasa warisan nenek moyang kita bahawa “KERBAU DIPEGANG PADA TALINYA, MANUSIA DIPEGANG PADA JANJINYA.”

 
Tuan Speaker,

21. BUAT MASA ini saya tidak mahu mengulas dengan terperinci. Janji-janii MANIFESTO PRU 13 Pakatan Pembangkang dan mahu memberi peluang dalam tempoh 100 hari sejak pemerintahan Kerajaan negeri yang baru, samada Kerajaan negeri mempunyai ‘AZAM POLITIK dan EKSEKUTIF’ – political and executive will’ dengan izin, untuk melaksanakan janji-jani tersebut.
22. YANG PENTING bagi saya dan seluruh lapisan rakyat Selangor ialah disamping melaksanakan janji-janji Manifesto PRU 13, kami menuntut supaya Kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB dari Pelabuhan Klang menunaikan semua janji-janji yang telah dibuat melalui MANIFESTO PRU 12 dahulu.
Dengan penekanan inilah saya mohon menyokong usul Menyokong Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor yang dibentangkang di Dewan yang mulia ini.
Sekian, terima kasih Tuan Speaker
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MALAYSIA KRITIS - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger