Home » » Sidang Dun Selangor : Ketua Pembangkang (BN) Tempelak Sandiwara Kerajaan Pakatan Haram

Sidang Dun Selangor : Ketua Pembangkang (BN) Tempelak Sandiwara Kerajaan Pakatan Haram

Written By LAILANATASHA on Monday, July 1, 2013 | 8:22 PM


UCAPAN YB. DATO’ HAJI SHAMSUDIN LIAS

ADUN SG. BURONG MERANGKAP KETUA PEMBANGKANG


Tuan Speaker,


1. Terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan menyokong titah ucapan DYMM Sultan Selangor di persidangan Dewan yang mulia ini.



2. Bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, saya ingin mengambil kesempatan ini menjunjung kasih ke bawah DYMM Sultan Selangor yang begitu prihatin kepada masalah kesejahteraan dan keselamatan semua lapisan rakyat di negeri Selangor. Malahan dalam beberapa hal, DYMM Tuanku lebih rasional dan prihatin daripada kepimpinan Kerajaan terutama yang melibatkan hal ehwal agama Islam, kebajikan rakyat golongan berpendapatan rendah dan perpaduan rakyat berbilang kaum.



3. Bagi kami rakyat negeri Selangor, DYMM Tuanku adalah payung kepada kami, dan merupakan kuasa serta pelindung terakhir tempat kami mengadu apabila Kerajaan gagal mengatasi masalah rakyat. Malahan dalam banyak hal, DYMM Tuanku sahajalah tempat kami mengadu dan bergantung apabila Kerajaan yang ada sekarang tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat kerana wujud perbezaan ideologi, keutamaan dan kepentingan parti-parti yang menganggotai Kerajaan Pakatan Pembangkang.
Tuan Speaker,



KEPUTUSAN PRU 13

4. Sebagai sebuah parti yang mendokong keluhuran Perlembagaan Persekutuan, Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan, dan sistem Pilihan Raya bebas yang telah diamalkan oleh Malaysia sejak kita merdeka, Barisan Nasional menghormati Keputusan PRU 13 yang telah dibuat oleh rakyat khususnya pengundi-pengundi pada 5 Mei 2013. PRU 13 telah memberi kemenangan kepada BN dengan majoriti mudah 133 kerusi, walaupun Pakatan Pembangkang khususnya Ketua Pembangkang merangkap Penasihat Ekonomi Selangor dan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang begitu taksub dan yakin bahawa Pakatan Pembangkang dapat mengambil alih Putrajaya. PRU 13 juga telah memberi kemenangan 2/3 majoriti kepada Pakatan Pembangkang di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor walaupun mereka sentiasa mempersoalkan ketelusan serta kewibawaan SPR sejak dahulu lagi melalui tiga demonstrasi Bersih.


5. Barisan Nasional Selangor menghormati keputusan-keputusan di atas walaupun kami kecewa apa yang telah berlaku di Selangor. Nampaknya rakyat Selangor masih mahukan Pakatan Pembangkang memerintah Selangor walaupun banyak terbukti Kerajaan Pakatan Pembangkang yang lalu telah gagal melaksanakan sepenuhnya janji-janji Manifesto PRU 12. Sebagai parti yang bertanggungjawab dan mendokong demokrasi dan ketelusan SPR, saya bagi pihak ADUN-ADUN Barisan Nasional mengucapkan tahniah kepada Pakatan Pembangkang yang telah diberi mandat kali kedua oleh rakyat Selangor untuk meneruskan pemerintahannya. Kami berikrar kepada rakyat Selangor bahawa kami akan menjadi pembangkang yang bertanggungjawab semasa di dalam Dewan atau di luar Dewan.

Tuan Speaker,

PERHIMPUNAN BLACKOUT 505

6. Walaupun begitu, saya ingin membangkitkan satu isu penting di dewan yang mulia ini yang melibatkan keputusan rakyat dalam PRU 13, demi kesejahteraan rakyat dan ketenteraman awam iaitu Perhimpunan BLACKOUT 505, terutama Perhimpunan Haram Blackout 505 pada 22 Jun 2013 di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

7. Perhimpunan haram ini dan perhimpunan-perhimpunan sebelumnya dipelopori oleh seorang pakar demonstrasi jalanan sejak zaman pelajar dahulu iaitu Penasihat Ekonomi Selangor rmerangkap Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang bercita-cita tinggi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak dahulu lagi, termasuklah semasa dengan Barisan Nasional. Beliau dan konco-konconya begitu yakin untuk mengambil alih Putrajaya dalam PRU 13. Berangan-angan untuk angkat sumpah pada pagi hari Isnin 26 Mei 2013. berjaya meyakinkan penyokong-penyokongnya termasuk dari luar Negara bahawa INI KALI LAH peluang beliau untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

· Beliau juga telah merancang lebih awal sebelum PRU 13, Siri-siri demonstrasi dan perhimpunan di seluruh negara dan luar negara jika cita-cita dan nafsu besarnya GAGAL dalam PRU 13. Tetapi TUHAN tidak mengizinkan cita-cita dan nafsu besarnya. Sebagaimana juga Tuhan tidak mengizinkan janji 16 September 2008 dan cita-citanya menggunakan pengikut-pengikutnya dalam Barisan Nasional dahulu untuk menjadi Perdana Menteri. Malahan beliau berjanji untuk meninggalkan arena politik dan menjadi pensyarah di luar Negara jika gagal mengambil Putrajaya dalam PRU 13.

8. Kita sebenarnya tidak terperanjat dengan kekecewaan beliau dan tindakan beliau ketika mempelopori beberapa demontrasi jalanan dan perhimpunan haram terutama demonstrasi 22 Jun 2013. Beliau mendakwa bahawa demonstrasi ini adalah anjuran dan dokongan semua parti-parti dalam Pakatan Pembangkang.

· Tetapi jelas ini satu pembohongan besar. Pengerusi DAP sendiri sentiasa mengingatkan rakyat bahawa DAP tidak terlibat. ITU hanya anjuran Parti Keadilan Rakyat yang dipelopori oleh Ketua Pembangkang. PAS juga berpendirian sama, walaupung salah seorang Naib Presidennya ADUN dari N17 SALOR, KELANTAN yang pro-Ketua Pembangkang dan gagal merampas kerusi Parlimen Putrajaya, membuat fatwa bahawa sesiapa yang gugur dalam demonstrasi Blackout 505 adalah mati syahid.

· Beliau menuduh ahli-ahli parti serta pemimpin-peimimpin parti yang menentang demonstrasi tersebut adalah pengkhianat perjuangan PAS. Mereka bergaduh sesama sendiri sekarang.

9. Demonstasi Blackout 505 terutama Penasihat PKR menuntut tiga (3) perkara penting iaitu;
Pertama : Semua ahli SPR hendaklah meletakkan jawatan serta merta.
Kedua : Mengadakan pilihan raya semula bagi 30 kerusi Parlimen yang telah dikenalpasti.

Ketiga : Menangguhkan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya sehinggalah ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya meletakkan jawatan dan diganti oleh ahli-ahli baru.

Mereka tidak menerima keputusan PRU 13. Yang anehnya ahli-ahli DUN di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor telah mengangkat sumpah dan menubuhkan kerajaan Pakatan Pembangkang di negeri-negeri tersebut termasuklah di Selangor pada 21 Jun 2013 yang lalu. Bukankah ini ‘double standard’ dengan izin Tuan Speaker atau ‘SIKAP HIPOKRIT TERBESAR’ dalam sejarah PRU di Malaysia?
Ahli Parlimen Permatang Pauh juga gagal untuk mempengaruhi ahli-ahli Pakatan Pembangkang supaya memulaukan majlis angkat sumpah. Akhirnya beliau sendiri angkat sumpah. Kalau tidak iktiraf keputusan PRU 13 mengapa angkat sumpah ?

10. Dalam konteks ini, Tuan Speaker, saya ingin mendapatkan jawapan dan penjelasan daripada YAB Menteri Besar dari Pelabuhan Klang mengenai isu-isu ini.
Pertama

Adakah PAKATAN PEMBANGKANG dan Kerajaan Negeri Selangor yang baru dilantik ini tidak mengiktiraf keputusan PRU 13 diperingkat nasional dan negeri, sedangkan mereka sendiri telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Exco Kerajaan baru-baru ini.
Kedua

Jika tidak bersetuju, mengapa angkat sumpah. Jika bersetuju, mengapa bersekongkol dengan demonstrasi haram ini.
Ketiga

Adakah benar, seperti yang didakwa oleh YB ADUN N32 Seri Setia, bahawa perhimpunan pada Mei di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya adaah program penerangan anjuran Kerajaan Selangor yang tidak memerlukan permit Polis.

· Jika benar, berapakah perbelanjaan menjayakan program tersebut. Adakah bayaran sewa stadium dikenakan oleh MBPJ. Jika benar, adakah ini satu pengesahan bahawa Pakatan Pembangkang dan Kerajaan negeri Selangor tidak mengiktiraf keputusan PRU 13 yang memberikan 2/3 majoriti kepada Pakatan Pembangkang di Selangor.
Jika tidak benar, mengapa ADUN Seri Setia mengheret Kerajaan negeri dan rakyat Selangor menganjurkan demonstrasi tersebut.
Keempat

Apakah rasional cadangan Kerajaan negeri hendak menubuhkan Suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan berlakunya penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri Selangor pada PRU 13.
· Cadangan ini merupakan satu publisiti murahan politik. Jika tidak berpuas hati, ikutlah saluran undang-undang. Failkan petisyen di mahkamah.
Kelima

Apakah pendirian sebenar DAP dan PAS Selangor dalam isu ini terutama Perhimpunan Blackout 505, sedangkan kepimpinan utama DAP dan PAS tetap menafikan bahawa DAP dan PAS bukan penganjuran bersama.

· Apakah pandangan YB ADUN N19. Bukit Antarabangsa yang pernah membuat kenyataan tidak setuju tindakan bosnya sendiri mengenai demonstrasi ini. Adakah YB ADUN Bukit Antarabangsa hadir bersama dalam perhimpunan di Stadium MBPJ dan di Padang Merbok pada 22 Jun yang lalu.

· Bagaimanakah pandangan PAS Selangor, khususnya Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap ADUN Meru. Difahamkan beliau patuh dengan pendirian kepimpinan PAS Pusat dan menasihatkan ahli-ahli PAS Selangor tidak menyertai Demonstrasi Blackout 505 di Padang Merbok. Yang mana hendak ikut arahan Presiden PAS Nasional atau Naib Pesuruhjaya PAS Ahli Parlimen Shah Alam. Nak jadi pengkhianat parti dan mati syahid atau penderhaka kepada Presiden PAS. Atau nak ikut telunjuk Ahli Parlimen Shah Alam.
Keenam

YAB ADUN Pelabuhan Klang dan YB ADUN Bukit Antarabangsa yang juga Ahli Parlimen Malaysia adalah terlibat dalam meluluskan Akta Perhimpunan haram di Parlimen dahulu. Mengapa mereka sendii tidak menghormati dan mendokong Akta yang mereka luluskan sendiri dan bersetuju dengan demonstrasi tersebut yang dianjurkan bertentangan dengan garis panduan dan syarat-syarat Akta tersebut. Bukankah ini mengkhianati amanah rakyat Selangor dan tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen?

 
Rakyat Selangor menuntut YAB dari Pelabuhan Klang untuk menjawab isu-isu ini kepada rakyat Selangor yang cintakan keamanan negara dipertahankan.


Tuan Speaker,
PERLANTIKAN MENTERI BESAR SELANGOR

11. Saya juga mewakili ADUN-ADUN BN di dalam Dewan yang mulia ini mengucapkan tahniah di atas perlantikan YAB dari Pelabuhan Klang sebagai Menteri Besar Selangor. Kami berharap YAB dapat melaksanakan 10 Aku Janji Bersumpah yang dibuat dihadapan DYMM Sultan Selangor semasa majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor yang juga dilakukan kemudian oleh semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor.
Bukan itu sahaja, malahan YAB adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan banyak janji-janji Manifesto PRU 12 yang belum ditunaikan sepenuhnya dan juga janji-janji Manifesto PRU 13 Pakatan Pembangkang walaupun YAB menganggap MANIFESTO bukan satu janji.
12. Dalam konteks episod perlantikan jawatan Menteri Besar Selangor, saya ingin membangkitkan beberapa isu yang mengelirukan rakyat semasa proses perlantikan Menteri Besar Selangor yang telah menimbulkan spekulasi rakyat.
Pertama

Kenyataan YB ADUN Bukit Antarabangsa yang mempersoalkan kewibawaan dan prestasi YAB ADUN Pelabuhan Klang, dulu ADUN Ijok, semasa menjadi Menteri Besar dalam penggal yang lalu.

· Adakah YB ADUN Bukit Antarabangsa masih yakin dengan kewibawaan YAB dari Pelabuhan Klang selepas mempersoalkan kelemahan beliau ? Katanya kita tak mahu ‘lame duck Menteri Besar,’ dengan izin, Menteri Besar yang lemah. Ikut Telunjuk Orang.

· Sebagai Pengerusi PKR Selangor, mengikut protokol parti sepatutnya YB Bukit Antarabangsa juga layak sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Difahamkan YB juga berminat dengan jawatan tersebut. Adakah YB Bukit Antarabangsa, terkilan dan kecewa tidak dipilih sebagai Menteri Besar. Rakyat Selangor tahu bahawa YB Bukit Antarabangsa dan YAB MB tidak sehaluan dalam banyak perkara di masa-masa yang lalu. Adakah YB Bukit Antarabangsa akan memberi sokongan kepada kepimpinan YAB Menteri Besar dalam semua hal atau akan menjadi gunting dalam lipatan ?


Kedua

· Pesuruhjaya PAS Selangor, YB ADUN Meru juga berminat untuk menjadi MB Selangor. Beliau pernah buat kenyataan bahawa beliau bersedia menawarkan diri sebagai MB Selangor jika jawatan tersebut diberikan kepada PAS yang kali ini mendapat lebih kerusi iaitu 15 kerusi di dalam PRU 13 dibandingkan 14 kerusi PKR. Malahan PAS kali ini lebih layak daripada PKR. Timbullah perselisihan pendapat diantara PKR dan PAS dalam isu ini.

· ANEHNYA, apabila peluang diberikan kepada PAS untuk membuat pencalonan jawatan Menteri Besar Selangor, kepimpinan PAS Pusat hanya mencalonkan ADUN dari Pelabuhan Klang untuk jawatan MB. KENAPA ? Bukankah ini satu peluang yang baik. Difahamkan ramai ahli-ahli akar umbi marah di atas kebaculan PAS Pusat. Mungkin ini juga perasaan Pesuruhjaya PAS Selangor.

· Sebenarnya PAS takut. Tunduk kepada tekanan sahabat-sahabat dari PKR dan DAP. Terutama Penasihat Ekonomi Selangor merangkap Penasihat PKR. Begitulah pendirian PAS di masa-masa yang lalu, termasuklah dalam isu-isu penting yang melibatkan kedudukan agama Islam seperti isu Murtad dan Kalimah Allah. Mungkin kerana kebaculan inilah Pesuruhjaya PAS Selangor dianggap tidak layak jadi Exco Selangor. Takut hendak mempertahankan kedudukan agama Islam.
13. Sekarang telah muktamad, YAB dari Pelabuhan Klang telah jadi MB Selangor. Kita sama-samalah saksikan apa sandiwara yang akan berlaku selepas ini. Harapan kita YAB MB Selangor dapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada anak-anak buahnya sendiri dari Paktan Pembangkang. Apa komen YB ADUN Kota Anggerik dan YB ADUN Seri Andalas yang kali ini digugurkan dari jawatan Exco Selangor.

Tuan Speaker,
PERLANTIKAN AHLI MESYUARAT KERAJAAN (EXCO SELANGOR)

14. Saya ingin juga menyentuh polemik pelantikan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang menjadi rebutan keluarga PAKATAN PEMBANGKANG. Selepas berlaku berbagai pertentangan pendapat dan cabar-mencabar, akhirnya PAS mendapat 4 kerusi Exco, DAP tiga dan PKR tiga, sementara jawatan Speaker diberikan kepada DAP dan Timbalan Speaker kepada PKR.
Kali ini YAB Menteri Besar lebih berani dari dahulu. Dilantik pula tiga orang ADUN wanita dikalangan orang kuat beliau Gugurlah ADUN Kota Anggerik dan ADUN Seri Andalas yang mirip kepada Pengerusi PKR Negeri. ADUN Bukit Antarabangsa kecewa sekali lagi. Terlepas jawatan MB dan kali ini Exco pula.

· TAHNIAH kepada ADUN Sg. Pinang yang telah dilantik sebagai Exco kali ini. Beliau berikrar, melalui jawatan Exco, hendak pastikan Enakmen Perkhidmatan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selangor Legislative Assembly Services Enactment – SELESA) akan diluluskan oleh Dewan pada penggal ini. Pengaruh ADUN Sg. Pinang sangat dominan. Saingannya dalam DAP, mantan ADUN Pandamaran dan ADUN Kinrara sudah tidak ada lagi dalam DUN Selangor.

· Yang menjadi mangsa Pesuruhjaya PAS ADUN Meru. Bukan sahaja cita-citanya hendak jadi MB gagal, jawatan Exco pun terlepas. Saranan saya, buatlah muhasabah diri mengapa buat kali kedua beliau kecundang.
Adalah menjadi harapan rakyat Selangor, YAB MB kali ini betul-betul menguasai Exco Selangor. Jangan macam dahulu. Tunduk kepada tekanan-tekanan dan ugutan-ugutan pihak luar, termasuklah Penasihat Ekonomi Selangor.

Seterusnya baca di sini
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MALAYSIA KRITIS - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger