Home » » Amokan Muhdalena Di JPM Tinggalkan Peluru Kekal Di Kaki

Amokan Muhdalena Di JPM Tinggalkan Peluru Kekal Di Kaki

Written By LAILANATASHA on Tuesday, September 10, 2013 | 4:09 PM



Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Muhdalena Ahmad dirujuk ke Jabatan Psikiatri selepas sepasukan doktor yang merawatnya mengambil kira keadaan wanita itu ketika menjalani rawatan serta perkara yang dilakukannya sewaktu kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), tahun lalu.

Dr. Siti Norhani Rafan, 31, berkata, keputusan bersama itu dicapai oleh sepasukan empat doktor terdiri daripada Ketua Jabatan Ortopedik, Hospital Putrajaya, pakar ortopedik, dan dua pegawai perubatan termasuk dirinya.

Beliau yang kini bertugas di Hospital Serdang memberitahu, Muhdalena dirawat selama 17 hari bermula 10 Julai hingga 27 Julai tahun lalu, berikutan kecederaan yang dialaminya dalam kejadian tersebut.

Beliau menyatakan demikian semasa memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Muhdalena, 28, yang didakwa melakukan ugutan jenayah dalam kejadian amuk di JPM manakala Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, yang mengaku dirinya `Imam Mahadi' terbunuh dalam kejadian berkenaan.

Menurut Siti Norhani, tertuduh dirawat dan diberi antibiotik serta ubat penahan sakit selepas menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru yang tertanam di bahagian kaki kanannya.

Ketika ditanya peguam M. Visvanathan yang mewakili tertuduh berhubung jumlah peluru tertanam, doktor tersebut hanya menyatakan, kecederaan itu disebabkan oleh peluru dan cebisan peluru kecil.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd. Izhar yang mengendalikan pendakwaan, saksi menyatakan, peluru dan cebisan-cebisan peluru itu tidak berjaya dikeluarkan walaupun selepas tertuduh dibedah.

Siti Norhani menjelaskan, ini kerana peluru dan cebisannya tertanam terlalu dalam dan berhampiran salur darah besar yang akan membahayakan pesakit.

Saksi selanjutnya menyatakan, keadaan Muhdalena sepanjang rawatan adalah stabil, tekanan darahnya normal serta luka di bahagian terkena tembakan kelihatan bersih manakala kakinya mampu digerakkan seperti biasa.

Menurutnya, pada akhir sesi rawatan sebelum dikeluarkan dari Wad Ortopedik, keadaannya stabil manakala luka yang dialami akibat terkena tembakan juga bersih dan kering.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh memberitahu, pihak pendakwaan bersedia menutup kes selepas dua saksi terakhir termasuk pegawai penyiasat memberi keterangan.

Hakim Mohd. Kamil Nizam kemudian menetapkan perbicaraan disambung pada 2 dan 3 Oktober depan.

Kalmizah turut menyatakan, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menolak surat representasi yang dihantar oleh peguam bela tertuduh dan mengarahkan agar kes itu diteruskan hingga selesai.-utusan

Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MALAYSIA KRITIS - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger