Home »
» Lelaki Bosnia Dera Dan Fitnah Bekas Kekasih Ambil Sperma
Lelaki Bosnia Dera Dan Fitnah Bekas Kekasih Ambil Sperma
Written By LAILANATASHA on Saturday, September 7, 2013 | 11:24 AM
"Saya bertekad mahu membersihkan nama saya di mahkamah dan tidak sesekali akan menyerahkan anak saya kepada lelaki tidak bertanggungjawab itu".
Demikian kata-kata tegas diucapkan oleh seorang wanita tempatan dikenali sebagai Melanie, 29, setelah menerima saman daripada bekas kekasih iaitu lelaki Bosnia, Ervin Ahbabovic, 41, untuk menuntut ganti rugi RM600,000 kerana mendakwa dia mempergunakan spermanya bagi mendapatkan anak daripada genetik orang Eropah yang dikatakan berkualiti tinggi.
Melanie yang merupakan seorang perunding dan penyelidik mendakwa, dia sebenarnya menjadi mangsa kepada bekas kekasihnya itu yang sebenarnya sengaja memfailkan saman yang mencemarkan maruahnya itu semata-mata mahu mendapatkan wang.
"Kenyataan bekas teman lelaki yang disiarkan dalam media yang mendakwa saya seringkali berkeinginan melakukan hubungan seks sebanyak enam kali sehari yang mana setiap sesi mencapai tempoh satu jam menyebabkan jiwa saya terganggu dan memberi kesan psikologi kepada saya seumur hidup.
"Sebenarnya saya adalah mangsa penipuan dan sikap panas barannya. Secara logik mana mampu saya seorang wanita yang lemah dan bertubuh jauh lebih kecil daripadanya mampu melawan atau menderanya seteruk itu," ujar Melanie dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Melanie mengadakan sidang akhbar khas ditemani oleh Presiden Persatuan Suara Wanita, Chew Hoong Ling dan Penasihat Undang-Undang Persatuan Suara Wanita, Syazana Mat Kasa bagi membersihkan namanya setelah Ahbabovic memfailkan saman dan mengadakan sidang akhbar bercerita tentang keburukannya.
Pada Selasa lalu media melaporkan, Ahbabovic yang bekerja sebagai pengarah komersial di syarikat tempatan memfailkan saman tersebut menerusi firma guaman, Tetuan The Law Chambers of Mohamad Fauzi di Mahkamah Tinggi di sini.
Tuntutan yang dikemukakan oleh Ahbabovic yang berstatus Penduduk Tetap (PR) merupakan kes saman pertama melibatkan dakwaan seumpama itu di negara ini.
Melanie mendakwa, selama hampir empat tahun tinggal serumah dengan bekas teman lelaki yang mesra dipanggil Ervin itu, jiwanya cukup tertekan kerana lelaki tersebut sering memukul dan meminta wang daripadanya.
"Ervin sebenarnya tiada pekerjaan tetap dan suka berhibur di kelab malam. Sayalah tempat dia meminta wang dan jika enggan menurut kemahuannya, saya akan dipukul.
"Kesibukan berhibur di luar menyebabkan Ervin tiada masa melayan anak dan saya sendiri yang menanggung perbelanjaan keluarga. Sebab itu, saya hairan kenapa dia tiba-tiba mahu menuntut hak melawat anak.
"Saya sudah membuat beberapa laporan polis tentang penderaan yang dilakukan terhadap saya termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan balai-balai lain di ibu negara sebelum ini," katanya sambil memberitahu dia juga pernah membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA setelah diugut untuk disaman oleh Ervin pada Mac lalu.
Melanie berkata, dia sudah banyak kali cuba meninggalkan Ervin tetapi gagal kerana lelaki itu akan mengugut menganggu pelanggan yang berurusan dengannya dan memukulnya sehinggalah mempunyai kekuatan berbuat demikian setahun lalu.
Menurut Melanie, dia menyerahkan kepada polis untuk menyiasat laporan yang dibuat dan cuba menjalani kehidupan seperti biasa kerana yakin pihak polis boleh melindungi keselamatannya.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong ketika dihubungi mengesahkan pernah menerima aduan daripada Melanie berhubung ugutan saman dan penderaan yang dibuat oleh lelaki Bosnia itu.
"Sebenarnya Melanie bukanlah individu dan wanita pertama membuat aduan kepada MCA mendakwa menjadi mangsa penipuan dan penderaan Ahbabovic.
"Antara yang pernah meminta bantuan melindungi diri daripada lelaki ini ialah bekas isterinya yang juga berketurunan Cina, Amalyna Evelyn Abdullah pada 2006 dan terbaru semalam, seorang lelaki warga Iran yang mendakwa ditipu wangnya oleh Ahbabovic," katanya.
Hoong Ling pula berkata, pihaknya difahamkan terdapat ramai lagi wanita tempatan yang pernah menjadi mangsa penipuan Ahbabovic dan meminta mereka membuat aduan kepada Persatuan Suara Wanita dengan menghantar emel ke hoong@hoong.coom
Post a Comment