Home » » Maut Setelah 2 Kali Ditembak Selang 6 Bulan

Maut Setelah 2 Kali Ditembak Selang 6 Bulan

Written By LAILANATASHA on Sunday, December 8, 2013 | 1:54 PM



Seorang lelaki yang terselamat daripada maut akibat serangan senjata api enam bulan lalu, menemui ajal selepas ditembak kali kedua di kawasan taman permainan di Taman Puteri Gunung, Tasek di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa, M. Partiban, 29, mati di tempat kejadian setelah terkena enam das tembakan.

Mangsa pernah ditembak 20 Jun lalu di kawasan yang sama dipercayai oleh suspek yang sama tetapi hanya mengalami kecederaan di tangan dan perut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten komisioner, Mazlan Kesah berkata, mangsa dihampiri sebuah kereta Perodua Myvi hitam dinaiki dua lelaki yang kemudiannya melepaskan enam das tembakan ke arahnya.

Beliau berkata, satu daripada tembakan itu mengenai rusuk Partiban.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami pendarahan teruk dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Mazlan berkata, siasatan polis menemukan enam kelongsong peluru di tempat kejadian dan pihaknya percaya suspek menggunakan pistol jenis semi automatik.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek yang sama menembak mangsa ketika kejadian pertama enam bulan lalu.

Tambahnya, berdasarkan rekod, mangsa mempunyai empat rekod jenayah termasuk satu kes berkaitan dadah.

Mazlan berkata, polis berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 21 dan 35 tahun di sekitar kawasan itu beberapa jam selepas kejadian.

"Kedua-dua mereka ditahan untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis percaya kereta Myvi yang digunakan suspek itu dicuri di Seberang Jaya pada 3 Disember lalu," katanya berikutan penemuan sebuah kereta Myvi dibakar kira-kira 5 kilometer dari tempat kejadian tidak lama selepas insiden itu.-utusan
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MALAYSIA KRITIS - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger