Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna tersenarai sebagai 20 artis baharu yang perlu diberi perhatian sepanjang 2014 di Amerika Syarikat oleh laman The Huffington Post pada Selasa.
Yuna, 28, turut menjadi satu-satunya artis dari Asia yang dilihat berpotensi untuk mencipta nama dalam bersama 19 lagi artis lain.
The Huffington Post menyifatkan Yuna berjaya membuktikan bahawa dia adalah bukan sekadar penyanyi tempelan dan mampu menempatkan nama dalam industri muzik di Amerika.
“Jika anda masih belum mempunyai sebarang koleksi muzik daripada Malaysia, biar Yuna menjadi yang pertama.
“Menampilkan adunan muzik tradisional negaranya dan diadun dengan elemen pop ia memberikan rasa baharu dan menepati selera pendengar,” kata laman web itu tentang Yuna.
Antara nama lain yang turut tersenarai adalah seperti Bad Rabbits, Balance and Composure, Banks, Knytro, Sam Smith dan Wake Owl.
Dalam pada itu, Yuna dalam satu respons di laman Facebook miliknya berkata, dia sangat berbangga terpilih antara 20 artis dalam senarai tersebut.
Lagu nyanyian Yuna bersama Owl City berjudul Shine Your Way turut mendapat pencalonan awal anugerah Oscar kali ke-86 dan akan bersaing dengan 74 buah lagu lain.
Lagu tersebut adalah runut bunyi untuk filem animasi Hollywood berjudul The Croods. – Mstar.com.my
Post a Comment