Home » » PAKATAN PUNCA UTAMA DAP SEBARKAN KRISTIAN SECARA TERANG-TERANGAN

PAKATAN PUNCA UTAMA DAP SEBARKAN KRISTIAN SECARA TERANG-TERANGAN

Written By LAILANATASHA on Wednesday, August 24, 2011 | 12:32 PM

Dulu senyap-senyap, kini semakin terbuka. Itulah modus operandi gerakan murtad yang semakin membimbangkan umat Islam negara ini.
Mereka yang melakukannya tidak lagi menghiraukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada orang Islam.
Dari semasa ke semasa, kita boleh perhatikan usaha itu dilakukan dengan semakin berani. Jika dahulu, kita hanya biasa mendengar risalah dakwah bukan Islam ditinggal lari dalam bekas barang motosikal, diselit pada pengelap cermin kereta atau dalam peti surat, namun apa yang berlaku kini lebih daripada itu lagi.
Sebelum ini, kita dihadapkan dengan tuntutan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang Kristian, kemudiannya al-Kitab (Bible) dalam bahasa Melayu yang menyaksikan pemimpin Islam bercakaran sesama sendiri apabila isu itu turut diheret dalam perbalahan politik.
Apa yang lebih membimbangkan apabila timbul isu anak-anak orang Islam diajar menyanyi lagu Kristian siap dengan simbolnya sedangkan mereka mempelajari semua itu di bawah program tuisyen atau tadika amal yang diberi percuma untuk keluarga miskin.
Cuba kita bayangkan apa akan jadi kepada zuriat Melayu/ Islam ini pada masa depan andainya tidak diselamatkan dengan segera?
Ramadan tahun ini amat memilukan apabila seawal hari ketiga umat Islam berpuasa, tercetus kontroversi sekumpulan orang Islam diundang berbuka puasa dalam majlis yang diadakan di premis Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sehingga mendorong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memeriksa majlis itu apabila terdapat aduan bahawa ada usaha untuk memurtadkan orang Islam berlaku di majlis berkenaan.
Apa yang berlaku di DUMC seharusnya menyedarkan semua orang Islam, terutama pemimpin bahawa sesuatu yang tegas dan serius perlu dilakukan untuk menghadapi gejala yang semakin mencemaskan ini.
Namun malangnya, perbalahan politik sekali lagi tidak dapat dielakkan apabila pemimpin Islam bercakaran, saling tuduh menuduh malah ada yang mengecam Jais atas tindakannya itu.
Melihat apa berlaku satu persatu, gerakan memurtadkan orang Islam yang semakin berani ini dipercayai ada kaitan dengan tindakan terancang diatur sama ada di dalam mahupun luar gelanggang politik.
Ini dipercayai setelah mereka melihat ada kelemahan dalam kepimpinan Melayu/Islam daripada perpecahan yang berlaku, selain ruang yang terbuka apabila ada pemimpin yang menguasai negeri tertentu tidak bersikap tegas dalam hal ini demi untuk menjaga hati pengundi dan rakan parti bukan Islam.
Bagaimanapun perlu diingat, meskipun undang-undang diwujudkan termasuk cadangan Akta Murtad seperti yang dihebohkan, iman yang sebenar adalah pada hati.
Tiada guna undang-undang menghalang jika hati seseorang Islam itu sudah berpaling tadah.
Bagi gerakan misioner, meskipun undang-undang (Perlembagaan) menghalang, apa yang dilakukan adalah tanggungjawab agama mereka. Sama ada mereka bermatlamat syurga, ataupun istana (politik), mereka tetap akan melakukannya meskipun ditegah oleh undang-undang.
Maka apa yang perlu ialah mengatasi semua kelemahan yang ada.
Jika miskin punca orang Islam semakin ramai murtad, usaha membantu mereka dari segi ekonomi, terutama menerusi tabung zakat atau Baitul Mal perlu ditingkatkan.
Lihat semula Bicara Isnin Sinar Harian minggu lalu di bawah tajuk muka depan ‘SUSAHNYA DAPAT ZAKAT’ bagaimana kerenah birokrasi dalam agensi pengurus zakat menjadi halangan bagi ramai orang yang memerlukan mendapat bantuan.
Begitu juga jika cinta menjadi ‘senjata’ gerakan murtad sebagaimana yang selalu disebut-sebut, sesuatu perlu dilakukan untuk memantapkan lagi akidah muda mudi Islam sebagai perisai yang boleh menegah mereka hanyut dalam gelora nafsu remaja.
Begitu juga dengan pengaruh persekitaran, usaha yang lebih jelas perlu dilakukan untuk menanganinya termasuk mengawal apa sahaja medium yang mengancam terutama yang berkaitan dengan hiburan, maksiat dan pergaulan.
Pertubuhan bukan kerajaan perlu mengetepikan motif politik, lebih ikhlas berjuang membantu golongan terpinggir,
Pemimpin politik Melayu/Islam pula dirayu supaya tahu batas berpolitik, tidak menjadikan isu agama sebagai senjata memancing undi. Apabila timbul isu seperti ini, mereka perlu kembali bersatu untuk membina bentang yang kukuh supaya Islam di tanah air tercinta ini tidak mudah runtuh -sinar
Farhan Gigih Tebus Dosa

Ustaz Mohd Farhan Abdullah al-Hafiz
Kuala Lumpur – Dulu matlamat hidupnya, adalah memurtadkan seberapa ramai orang Islam.

Sejak usia tujuh tahun lagi, Yohanus sudah dihantar keluarganya untuk bersekolah di gereja bagi melatih dirinya menjadi mubaligh.
“Keluarga saya memang berpegang pada ajaran Kristian yang kuat. Tidak hairanlah, bapa saya ketua gereja Kota Belud (Sabah) pada masa itu,” katanya yang kini dikenali sebagai Ustaz Mohd Farhan Abdullah al-Hafiz.
Dalam usia remaja, mubaligh Yohanus berjaya memurtadkan, lebih 200 orang Islam. Lantaran itu, dia dinaikkan pangkat hingga bergelar pastor.
Ini amat menggembirakan keluarga, terutama bapanya yang menaruh harapan mahu Yohanus menggantikan tempatnya atau mendaki kedudukan lebih tinggi.
“Saya dihantar ke sekolah Kristian di Namous termasuk mendalami kitab Bible di Pusat Gerakan Penginjilan Sidang Injil Borneo (SIB) untuk meningkatkan lagi keupayaan menarik orang mendekati Kristian terutama memurtadkan orang Islam,” katanya.
‘Kejayaan’ dikecapi selain sokongan keluarga membuatkan Pastor Yohanus lebih bersemangat menjalankan tanggungjawab agamanya.
Bagaimanapun, kehendak ALLAH ternyata mengatasi segalanya.
Atas beberapa insiden, hati Yohanus tiba-tiba berubah menjadi tertarik kepada Islam, satu agama dan umat yang paling dimusuhinya sejak kecil.
“Meskipun saya sering bercerita yang baik dan menarik mengenai Kristian, namun dalam hati saya, tiada siapa yang tahu apa yang saya sendiri rasakan,” katanya.
Farhan berkata, jauh di lubuk hatinya, dia sering diburu perasaan ada sesuatu yang tidak kena dalam hidupnya, terutama tentang apa yang dibuatnya selama ini.
“Kepercayaan saya (waktu itu) sering berperang dengan hati sendiri,” katanya.
Namun segala-galanya berubah, sebaik sahaja dia mengucap dua kalimah syahadah pada 1990.
“Segala keraguan dan keluh-kesah itu pergi dengan tiba-tiba. Hingga sekarang, saya berasa amat tenang bersama Islam, sesuatu yang saya tidak pernah rasai dulu,” ujarnya sambil tersenyum.
Farhan berkata, meskipun sudah jadi Islam, dia tidak puas mendalami agama suci ini.
“Semakin hari, saya melihat Islam itu indah, sehinggakan saya nekad mendalami Islam dengan menuntut di Institut Dakwah Islamiyah Perkim di Petaling Jaya dan melanjutkan pelajaran ke Mesir sehingga mendapat ijazah dalam pengajian al-Quran dan Qiraat Shubra Al-Azhar,” katanya.
Setelah 20 tahun memeluk Islam, Farhan telah mengislamkan lebih 4,000 orang Kristian.
Menurutnya, itu adalah usahanya bagi menebus apa dilakukan sebelum ini dan berusaha menarik lebih ramai orang untuk mencintai Islam.
“Walaupun sudah masuk Islam, saya masih lagi mengkaji pergerakan mubaligh Kristian dan melihat perkembangan kitab yang digunakan Kristian.
“Sebagai contoh, banyak gereja hari ini, menyalahgunakan kebebasan beragama, Bible dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris semakin banyak diedarkan. Penyebaran agama dilakukan dengan semakin terbuka apabila kebanyakan hotel di negara ini menyediakan kitab Bible di setiap bilik,” katanya.
Mohd Farhan berkata, penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dalam membendung usaha penyebaran agama lain, terhadap orang Islam masih belum menyeluruh kerana setelah kerajaan membenarkan lebih 35,000 al-Kitab (Bible dalam bahasa Melayu) dibawa masuk ke Malaysia penghujung tahun lalu, kebanyakan penyebar agama Kristian menggunakan kesempatan itu dengan sewenang- wenangnya mencetak dan membawa masuk lebih banyak lagi al-Kitab.
“Terdapat al-Kitab yang ada tidak ditulis ‘hanya untuk penganut Kristian’, malah setiap naskhah yang diedar tidak mempunyai kod atau cop yang mengesahkan kemasukannya.
“Perkara itu berbeza di negara Islam lain, al-Kitab yang dibawa masuk mempunyai kod tersendiri dan dengan jelas dimaklumkan hanya untuk penganut Kristian,” katanya.
“Bagi mengekang penyebaran itu secara lebih berleluasa, pihak kerajaan perlu tegas dalam perkara itu,” katanya – sinar
Mahu Memurtadkan Lebih Ramai Muslim

Mohammad Arabi Abdullah
SHAH ALAM – “Ya Tuhan, kalau benar agama Kristian adalah jalan saya, kuatkanlah saya, untuk terus mengkristiankan orang Islam di Ar-Arqam ini, dengan nama Jesus, Amin”, itu antara doa harian Mohammad Arabi Abdullah, 50.

Walaupun ketika itu, beliau sudah hampir empat tahun memeluk Islam, beliau masih mengamalkan agama Kristian.
Tujuannya untuk mengetahui tentang Islam tetap diteruskan dan saban hari, beliau menunaikan solat lima waktu dan berdoa, “Ya Allah kalau benar agama Islam adalah jalan saya, kuatkanlah saya untuk terus mencintai Islam, Amin.”
Menurut Arabi, tujuan asal memeluk Islam adalah untuk memurtadkan lebih ramai orang Islam.
“Saya masuk Islam, setelah menjadi anak angkat sebuah keluarga di Sarawak. Saya juga mengkaji tentang Islam supaya mudah menarik orang Islam masuk Kristian.
“Ketika itu, usia saya 15 tahun, keluarga angkat mahu menyekolahkan saya kerana sebelum ini, saya tidak pernah bersekolah sejak kematian ibu, saya tinggal dan dibesarkan di gereja sejak berusia tiga tahun.,” katanya.
Sebelum bertemu dengan keluarga angkat, Arabi dimasukkan ke Hospital Kuching disebabkan penyakit misteri.
“Setelah sembuh, saya terus tinggal di hospital menjadi sukarelawan, saya mengkristiankan empat orang pesakit.
“Walaupun saya masih belasan tahun, semangat mengkristiankan orang kuat kerana perkara itu, sudah tertanam sejak kecil ,” katanya yang dilatih menjadi paderi sejak kecil.
Arabi berkata, dia dilatih mendekati orang supaya disenangi setiap gerinya dan apabila orang tanya siapa mengajarnya, dia akan katakan Kristian mengajarnya.
Menurutnya, itu sebahagian pendekatan digunakan untuk memurtadkan orang, iaitu dengan berbuat baik kepada mereka dan menariknya secara halus.
Namun, segalanya berubah apabila dia masuk Ar-Arqam, niat untuk memurtadkan orang berubah apabila dia nampak keindahan di dalam Islam.
“Saya sering menimbulkan persoalan dengan ustaz sehingga menimbulkan kemarahan di hati mereka.
“Di Ar-Arqam kami makan di dalam dulang. Saya bertanya, kenapa makan seperti itik (dengan niat mahu memburukkan Islam), lalu Ustaz itu menjawab, Islam mengajar kita tidak membazir dan tidak perlu berebut pinggan yang membolehkan timbul pergaduhan kerana Islam tidak suka akan peperangan,” katanya.
Pada malamnya, Arabi menunaikan solat berdoa dalam dua cara Islam dan Kristian, setelah itu merasakan ada ‘kesejukan’ ketika dia bersolat.
Sejak daripada malam itu, dia dengan rasminya, meninggalkan Kristian setalah empat tahun menganut dua agama.
Setelah keluar daripada Ar-Arqam dia terus mendalami Islam dan menjadi penceramah bebas
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MALAYSIA KRITIS - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger