Persembahan kesenian 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' yang diadakan sempena sambutan pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berlangsung meriah di Dataran Merdeka di sini malam tadi.
Kira-kira 50,000 orang hadir menyaksikan persembahan tersebut.
Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan menteri.
Majlis dimulakan dengan Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun diarak dari Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menuju ke pentas diraja dengan didahului barisan panglima serta disusuli seekor gajah.
Lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Angkatan Tentera Malaysia sebaik Seri Paduka tiba di pentas diraja.
Ia diikuti dengan sumpah taat setia untuk mendukung dan mempertahankan institusi raja diketuai oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Orang ramai kemudian dihiburkan dengan persembahan artis-artis terkenal tanah air antaranya Awie, Faizal Tahir dan Noraniza Idris.
tq-kosmo
Post a Comment