Bekas Penyanyi dan pelakon, Abby Abadi yang menyertai pembangkang, memperkecil-kecilkan golongan artis sebagai tidak peka dalam politik dan menuduh mereka tersasar jauh dari landasan Islam.
Dalam ceramah anjuran Pas kawasan Permas di sini malam tadi, Abby menyifatkan bekas rakan-rakan dalam dunia seni menyertai majlis-majlis anjuran kerajaan sekadar untuk menghiburkan penonton dan menerima bayaran tanpa mengambil tahu perihal apa-apa politik.
"Artis bila popular, ego mereka tinggi dan masih ramai yang menyokong UMNO. Mereka tidak percaya rezeki dari Allah, mereka percaya rezeki UMNO yang bagi.
"Saya berada pada tahap cabaran yang sangat tinggi dalam usaha mentarbiah para artis. Bila saya kongsi maklumat di Twitter atau Facebook, mereka kata saya taksub dengan Pas," katanya.
Abby yang mengakui tidak pernah mengundi sebelum ini, turut mendakwa ramai artis hari ini yang tidak menunaikan tanggungjawab tersebut kerana tidak dididik tentang kepentingan politik.
Ceramah hanya dihadiri tidak sampai 500 orang itu bermula kira-kira pukul 10 malam hingga 11.45 malam, namun tempoh Abby berucap setakat 40 minit dengan sesi-sesi lain diisi oleh penceramah Pas tempatan dan diselangi dengan persembahan beberapa buah lagu oleh sekumpulan pemuzik.
Post a Comment