Home »
» Wanita larikan RM18,850 Ditangkap
Wanita larikan RM18,850 Ditangkap
Written By LAILANATASHA on Sunday, October 27, 2013 | 11:57 AM
Seorang wanita dipercayai melakukan kegiatan penipuan menggunakan pelbagai taktik, terutama kononnya menjual barangan berjenama bebas cukai dengan tawaran harga murah, akhirnya tumpas selepas hampir setahun diburu polis.
Wanita tempatan berusia 47 tahun itu disyaki menipu sekurang-kurangnya empat mangsa di negeri ini bermula Januari lalu yang membabitkan kerugian RM18,850 dan berjaya ditahan hasil serbuan polis di Taman Politeknik, Port Dickson, Negeri Sembilan, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Superintendan Maszely Minhad berkata, wanita terbabit menggunakan modus operandi menawarkan barangan bebas cukai kastam seperti komputer riba, telefon pintar, barangan elektrik dan motosikal berkuasa tinggi kepada mangsa melalui panggilan telefon.
Menurutnya, suspek turut menawarkan untuk dapatkan lesen stesen minyak dengan mendakwa mempunyai ‘orang dalam’ di agensi tertentu.
“Antara mangsanya adalah peniaga wanita berusia 44 tahun yang ditipu pada 29 Januari lalu, apabila dia dihubungi suspek yang menggelar dirinya sebagai Salina dan menawarkan barangan bebas cukai kastam iaitu komputer riba dan i-Pad.
“Mangsa yang terpedaya kemudian setuju membeli barangan itu serta memasukkan wang RM7,000 ke dalam akaun bank suspek, namun suspek gagal dihubungi beberapa hari kemudian,” katanya.
“Seorang lagi wanita, pekerja kilang berusia 26 tahun berasal dari Kampung Cegar, Bidor, dekat sini, menjadi mangsa selepas ditawarkan barangan komputer riba, pencetak, Samsung Galaxy Tab dan televisyen dengan harga RM1,850 pada Jun lalu, tetapi perkara sama berlaku selepas mangsa memasukkan duit ke dalam akaun suspek,” katanya di sini, semalam.
Maszely berkata, dua lagi mangsa adalah lelaki di mana seorang ditawarkan membeli motosikal berkuasa tinggi dengan harga serendah RM1,500 selain hanya perlu menambah bayaran cukai jalan bernilai RM3,600.
“Seorang lagi mangsa lelaki yang juga anggota tentera diperdaya dengan suspek memperkenalkan diri sebagai Salina Pegawai Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, dan mendakwa abangnya pegawai pelesenan syarikat minyak terkemuka dan menawarkan untuk dapatkan lesen stesen minyak kepada mangsa dengan harga RM4,900,” katanya.
Katanya, hasil siasatan dan risikan berdasarkan laporan yang diterima daripada semua mangsa, suspek berjaya ditahan jam 2.30 petang Khamis lalu di Port Dickson dan suspek kini direman empat hari bermula semalam (kelmarin) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Menurutnya, mana-mana individu yang pernah ditipu suspek menggunakan taktik sama diminta menghubungi balai polis berhampiran.-hmetro
Post a Comment