Home » » Alvin, Vivian Didakwa Tiga Tuduhan

Alvin, Vivian Didakwa Tiga Tuduhan

Written By LAILANATASHA on Friday, July 19, 2013 | 8:06 AM


Alvin Tan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam berhubung kes mempersendakan Ramadan dan mempamerkan gambar lucah di sebuah laman web yang menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR 18 Julai - Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerbitkan gambar menghasut umat Islam di bulan Ramadan dan mempamerkan gambar-gambar lucah di sebuah laman web, dua minggu lalu.

Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, masing-masing mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar pasangan itu tidak dibebaskan dengan jaminan sehingga selesai perbicaraan atas alasan kedua-dua tertuduh cenderung memuat naik kandungan yang boleh menyinggung perasaan dan membangkitkan kemarahan orang ramai.

Dengan keputusan itu, Alvin yang berkemeja T warna merah dan seluar jean ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Vivian yang memakai kemeja T warna merah jambu dihantar ke Penjara Kajang sehingga tarikh sebutan semula kes itu pada 23 Ogos ini.

Pendakwaan terhadap pasangan itu dibuat setelah mereka berdua ditahan pihak polis ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini kira-kira pukul 1 petang.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman sosial facebook "Alvin dan Vivian-Alvivi" di pautanhttps://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu gambar dan komen bertajukSelamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!)mengandungi logo halal dan ayat-ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di 568-14-18, Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pada pukul 10.48 malam, tarikh dan tempat yang sama, pasangan penulis blog itu turut didakwa memuat naik penerbitan yang sama di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Selain itu, mereka didakwa mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 5(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin memohon ketiga-tiga kes dibicarakan bersama-sama namun tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesemua pertuduhan itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Menurut beliau, kedua-dua tertuduh turut mempunyai kecenderungan untuk memuat naik kandungan yang menimbulkan kemarahan orang ramai.

''Pihak pendakwaan memohon mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sehingga selesai perbicaraan kes itu,'' katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang turut mewakili pihak pendakwaan pula menyatakan, perbuatan Alvin dan Vivian bukan sahaja membangkitkan kemarahan masyarakat malah jika tidak dikawal boleh memusnahkan keharmonian antara masyarakat berlainan bangsa dan agama di negara ini.

''Kedua-dua tertuduh berkemungkinan memuat naik lagi artikel atau gambar yang menyinggung perasaan masyarakat dan ini merupakan perbuatan yang serius dan membimbangkan.

''Nama Alvin Tan sangat dikenali dan bila kita Google sahaja nama Alvin, akan timbul gambar dan artikel mengenainya yang mana jika tidak dikawal boleh memusnahkan masyarakat dan agama. Tidak dinafikan kesalahan itu tidak melibatkan keganasan tetapi ia kesalahan serius,'' katanya.

Peguam bela Chong Joo Tian yang mewakili Alvin dan Vivian bagaimanapun memohon jaminan ditawarkan kepada anak-anak guamnya memandangkan mereka tidak sepatutnya dihukum sebelum disabitkan bersalah atas ketiga-tiga tuduhan berkenaan-utusan
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. MALAYSIA KRITIS - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger